Artikel
Keistimewaan KRU Akademi
- Rabu, Mei 02 2012
- Hits: 847
Mingguan Malaysia, 29 April 2012
KUMPULAN Syarikat KRU mengorak langkah dengan menubuhkan Akademi KRU, sebuah institusi pengajian tinggi vokasional yang menumpukan kemahiran kreatif bertaraf antarabangsa bermula 2 Julai depan.
Buat permulaan, Akademi KRU menawarkan Sijil Kemahiran Kesan Khas yang mengikutstandard yang ditetapkan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dari Kementerian Sumber Manusia sebagai latihan asas secara terbuka kepada semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Selain itu, Akademi KRU turut menawarkan Sijil Kemahiran Khas Animasi 3D dan Sijil Kemahiran Khas Animasi 2D yang dibuka pada masa akan datang.
Mereka yang terlibat berpeluang berkongsi pengalaman dengan tenaga pengajar berpengalaman di samping mempelajari perisian komputer terkini setanding dengan kandungan kreatif negara maju.
Presiden Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU, Norman Abdul Halim berkata, individu yang berminat hanya perlu mempersiapkan diri menimba ilmu sepenuhnya andai berpeluang mengikuti program di Akademi KRU kerana peluang pekerjaan menanti sejurus selepas tamat pengajian.
"Industri hiburan tempatan dan media berkembang pesat dan memerlukan sumber manusia berpengalaman dalam bidang animasi. Sebab itu sebahagian besar kumpulan pertama program Sijil Kemahiran Kesan Khas akan ditawarkan bekerja di KRU Studios dan buat majikan lain yang memerlukan.
"Pemegang sijil asas tersebut juga berpeluang untuk menyambung pengajian ke peringkat diploma atau ijazah sarjana mengikut kemampuan masing-masing," katanya yang ditemui baru-baru ini.
Majlis pelancaran Akademi KRU disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali. Hadir sama Pengerusi Akademi KRU, Datuk Prof. Nazaruddin Abdul Halim; Presiden Multimedia (MMU), Datuk Prof. Dr. Muhamad Rasat Muhamad dan Ketua Pengarah JPK, Dr. Pang Chau Leong.
Norman berkata, Akademi KRU menawarkan silibus pelajaran yang lebih berdaya saing dan terkini. Maknanya, apa yang tenaga pengajar bekalkan itu sentiasa menepati kehendak pasaran semasa.
"Ada segelintir pelajar grafik yang tamat belajar tiga tahun di IPT berdepan dengan masalah di tempat kerja sebab teknologi yang dipelajari di bilik kuliah tak sama dengan apa kerja mereka. Jadi isu sebegini tak wujud kalau mereka belajar di Akademi KRU," jelasnya.
Mengenai yuran, Norman memberitahu anggaran perbelanjaan untuk satu semester ialah antara RM8,000 hingga RM10,000.
"Ini semua dalam perbincangan lagi sebab kita juga akan tawarkan tajaan daripada pihak korporat. Sebenarnya bukan isu kos tinggi atau rendah, tetapi saya nak mereka yang belajar di Akademi KRU datang belajar bersungguh-sungguh.
"Saya tak nak mereka sia-siakan peluang bekerja di sini sebab syarat kelayakan hanya perlu lulus SPM. Tapi calon yang ada kemahiran melukis diberi keutamaan dan lebih penting, lulus ujian warna semasa temuduga," katanya.
Pemohon boleh memilih untuk mengikuti kursus dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Kepada yang berminat, boleh memohon secara talian melalui www.kruacademy.com atau emel di Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya. sebelum 31 Mei 2012.