KOSMO, 22 Julai 2018

 

SELEPAS tamat persekolahan, antara dilema yang se­ring terjadi dalam kalangan pelajar lepasan sekolah ialah sama ada mahu melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi atau mula bekerja bagi membantu keluarga.

Hendak bekerja terus dirasakan peluang mengembangkan kerjaya agak terhad kerana tiada sebarang sijil tambahan kecuali Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diterima, manakala melanjutkan pengajian memerlukan sumber kewangan yang bukannya sedikit.

 

Menyedari dilema ini, syarikat operasi McDonald’s Malaysia iaitu Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd. menawarkan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) kepada lepasan sekolah untuk menimba ilmu dan pada masa sama mendapat elaun untuk menyara diri.

Pengarah Kanan Sumber Manusia, Pentadbiran dan Urusan Halal Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd., Azhar Darbi berkata, McDonalds merupakan pengendali restoran makanan segera pertama di negara ini yang menawarkan SLDN berkaitan penyediaan makanan serta layanan dan pertadbiran.

Menurutnya, SLDN McDonalds Malaysia dilaksanakan berdasarkan National Occupational Skills Standard (NOSS) yang ditetapkan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia berdasarkan mo­del dari Jerman.

“SLDN ini bertujuan mewujudkan tenaga kerja yang kompeten dan terampil dengan berlandaskan NOSS, tenaga kerja yang dilahirkan ini mempunyai stadard pekerjaan yang dimahukan pihak industri.

“Selain itu, SLDN ini juga bagi membantu kami mencapai matlamat 100 peratus tenaga kerja tempatan menjelang hujung tahun ini. Pada masa kini, kurang dua peratus daripada 12,000 tenaga kerja di restoran merupakan pekerja asing,” katanya ketika ditemui kru Panorama baru-baru ini.

Sijil kemahiran

Menurut Azhar, SLDN McDo­nalds dimulakan sejak Februari lalu dengan pengambilan pertama melibatkan 25 pelajar dan pengambilan kedua sebanyak 27 orang.

“Mereka akan menjalani latihan selama 18 bulan membabitkan 70 peratus latihan praktikal di restoran-restoran McDonalds, manakala 30 peratus lagi teori dan pembelajaran dalam kelas.

“Selepas tamat latihan, mereka akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan Tahap 3.

“Selepas itu, terpulang kepada mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi atau bekerja sama ada di McDo­nalds atau di tempat lain,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Sumber Manusia Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd., Zarina Osman berkata, SLDN itu mempunyai pelbagai kelebihan berbanding melanjutkan pengajian di tempat lain.

“SLDN McDonalds tidak mengenakan sebarang yuran pengajian, malah kami juga menyediakan penginapan, pakaian seragam dan makanan percuma.

“Malah, pelatih SLDN ini akan diberi elaun sebanyak RM1,200 sebulan sepanjang mereka menjalani latihan di sini. Pengajian SKM mereka juga percuma,” katanya.

Jelasnya, pelatih program SLDN bukan sahaja dianguerahi SKM oleh JPK malah sepanjang pengajian mereka turut mendapat wang saku.

We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…