Bahagian Inspektorat (BI)
Bahagian Inspektorat bertanggungjawab sebagai penyelaras utama dalam pelaksanaan penguatkuasaan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) serta peraturan-peraturan di bawahnya. Bahagian ini dipertanggungjawabkan untuk memastikan bahawa semua Penyedia Latihan Kemahiran (PLK) atau Pusat Bertauliah (PB) mematuhi standard kualiti yang ditetapkan dalam pelaksanaan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM), demi menjamin kebolehpasaran graduan TVET selaras dengan keperluan industri semasa.
Di samping itu, Bahagian Inspektorat turut diberi mandat untuk menerajui pelaksanaan inisiatif Penarafan Tunggal TVET di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11). Inisiatif ini akan diteruskan dalam RMKe-12, dengan tanggungjawab menyeluruh merangkumi perancangan strategik, pengurusan pelaksanaan, serta pemantauan aktiviti Penarafan Tunggal TVET yang dilaksanakan secara bersepadu oleh pelbagai agensi TVET di seluruh negara. Pendekatan ini bertujuan memperkukuh penyelarasan sistem jaminan kualiti TVET secara nasional ke arah penyeragaman standard dan peningkatan daya saing tenaga kerja tempatan.
UNIT PEMERIKSAAN
Bahagian Inspektorat, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK)
Pengenalan
Unit Pemeriksaan merupakan salah satu unit pelaksana di bawah Bahagian Inspektorat yang memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) oleh Pusat Bertauliah (PB) dan penyedia latihan kemahiran sentiasa berada dalam landasan yang betul dan mematuhi kehendak perundangan. Pemeriksaan ini dijalankan selaras dengan peruntukan Seksyen 38, Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 [Akta 652], sebagai usaha kawal selia dan penambahbaikan berterusan terhadap kualiti latihan kemahiran di negara ini.
Objektif
Unit Pemeriksaan ditubuhkan dengan objektif seperti berikut:
- Memastikan setiap pelaksanaan program latihan kemahiran oleh PB atau penyedia latihan mematuhi peruntukan Akta 652 dan peraturan-peraturan di bawahnya;
- Menjalankan pemeriksaan dan pemantauan terhadap aspek pelaksanaan SPKM dari segi dokumentasi, fasiliti, personel, pendaftaran pelatih dan aktiviti pengajaran-pembelajaran;
- Mengawal selia aktiviti pengiklanan dan promosi SPKM yang dijalankan oleh PB atau pihak berkaitan agar tidak mengelirukan atau menyimpang daripada garis panduan yang ditetapkan;
- Mengesan lebih awal sebarang bentuk ketidakpatuhan dan melaksanakan tindakan pencegahan, pemulihan atau penguatkuasaan secara berstruktur;
- Menyediakan asas penilaian dan maklumat teknikal untuk pertimbangan Jawatankuasa Tindakan di bawah Akta 652 (JKTA 652).
Skop Perkhidmatan
Skop perkhidmatan Unit Pemeriksaan merangkumi perkara-perkara berikut:
- Pemeriksaan dan Pemantauan Pusat Bertauliah (PB)
- Menjalankan pemeriksaan berkala terhadap PB untuk memastikan pelaksanaan program latihan mematuhi standard, prosedur dan perundangan yang berkuat kuasa.
- Punca kuasa pelaksanaan pemeriksaan adalah melalui platform seperti berikut:
- Portal Rasmi JPK – www.dsd.gov.my
- Sistem Pengurusan Integrasi Kemahiran Malaysia – www.myspike.my
- Facebook Rasmi JPK – facebook.com/jpkksm
- Aduan, Pertanyaan dan Cadangan – mohr.spab.gov.my
- E-mel Rasmi JPK –
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. - Talian Rasmi JPK – 03-88865589
- Aplikasi Whatsapp – 019-2745590 / 91
- Pemeriksaan di bawah Seksyen 38 Akta 652
- Melaksanakan pemeriksaan ke atas penyedia latihan kemahiran untuk memastikan pelaksanaan SPKM adalah selaras dengan peruntukan undang-undang. Pemeriksaan boleh dijalankan secara bersemuka atau dalam talian oleh Inspektor yang dilantik di bawah Seksyen 37 Akta 652 sama ada bernotis atau tanpa notis dari masa ke semasa pada bila-bila masa.
- Pengawalan Pengiklanan SPKM
- Memantau penggunaan logo JPK dengan kebenaran Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran (KPPK) dan mengawal semua bentuk pengiklanan, promosi SPKM oleh PB atau pihak berkepentingan supaya selaras dengan peraturan dan tidak mengelirukan masyarakat awam.
- Pengurusan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan di bawah Akta 652 (JKTA 652)
- Mengurus mesyuarat JKTA 652 yang dilaksanakan 4 kali setahun dan dianggotai oleh kuorum tetap. Jawatankuasa ini berperanan mempertimbang dan meluluskan tindakan terhadap ketidakpatuhan dan kesalahan berkaitan pendaftaran pelatih, personel pentauliahan dan pelaksanaan latihan oleh PB merujuk kepada keperluan Akta 652.
- Pelaporan dan Penilaian Prestasi Pemeriksaan
- Menganalisis bilangan dan dapatan pemeriksaan mengikut negeri, trend ketidakpatuhan serta tahap pematuhan bagi tujuan pelaporan pengurusan dan pemantauan berterusan. Ini bagi tujuan penambahbaikan terhadap strategi dan pelaksanaan kawal selia di masa hadapan sejajar dengan keperluan semasa JPK.
- Aktiviti Tambahan Berkaitan Pemeriksaan
- Melaksanakan sebarang aktiviti tambahan seperti taklimat bimbingan penambahbaikan pelaksanaan SPKM (mengikut zon-zon / keperluan semasa), lawatan khas, bengkel serta latihan, penilaian risiko atau pemeriksaan mengejut mengikut keperluan semasa berlandaskan peruntukan di dalam Akta 652.
UNIT PENGUATKUASAAN
Bahagian Inspektorat, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK)
Pengenalan
Unit Penguatkuasaan merupakan salah satu elemen kritikal di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) yang bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap peruntukan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 [Akta 652] serta peraturan-peraturan yang digubal di bawahnya. Peranan utama unit ini adalah untuk melindungi integriti sistem latihan kemahiran negara melalui pelaksanaan tindakan siasatan, pemantauan dan penguatkuasaan terhadap mana-mana individu atau entiti yang melanggar undang-undang berkaitan pembangunan kemahiran.
Objektif
Objektif utama Unit Penguatkuasaan adalah seperti berikut:
- Memastikan semua pihak berkepentingan dalam Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) mematuhi peruntukan Akta 652 dan peraturan yang berkaitan;
- Menguatkuasakan undang-undang secara adil, telus dan berkesan ke atas mana-mana pihak yang melanggar syarat atau melaksanakan latihan kemahiran tanpa kebenaran;
- Memelihara kredibiliti sistem pensijilan kemahiran negara dengan mengambil tindakan terhadap penggunaan sijil palsu atau pentauliahan yang tidak sah;
- Memberi khidmat nasihat dan latihan kepada pegawai penguatkuasaan bagi memperkasa keberkesanan pelaksanaan tugas.
Skop Perkhidmatan
Skop perkhidmatan utama Unit Penguatkuasaan merangkumi perkara-perkara berikut:
- Pelaksanaan Penguatkuasaan Undang-undang
- Melaksanakan penguatkuasaan Akta 652 serta peraturan-peraturan berkaitan yang dibuat di bawah Akta ini.
- Siasatan
- Menjalankan siasatan rasmi terhadap mana-mana individu atau institusi yang disyaki melanggar peruntukan Akta 652.
- Tindakan Tatatertib Terhadap Pusat Bertauliah
- Mengambil tindakan penggantungan atau pembatalan sijil pentauliahan sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh mana-mana Pusat Bertauliah.
- Pengurusan Rayuan
- Menguruskan kes rayuan berkaitan keputusan yang melibatkan perenggan 25(a), subseksyen 27(2)(a) dan seksyen 29 di bawah Akta 652.
- Penyediaan Kertas Siasatan
- Menyediakan kertas siasatan untuk tujuan pendakwaan dan penalti di bawah kesalahan peraturan atau peruntukan Akta 652.
- Menyediakan kertas siasatan bagi tujuan pengkompaunan kesalahan berdasarkan kuasa yang diberikan.
- Latihan dan Pembangunan Pegawai
- Merancang dan menguruskan kursus berkaitan penguatkuasaan dan penyiasatan bagi Inspektor atau Pegawai Penguat Kuasa yang bertugas.
- Penarafan Program TVET
- Berperanan sebagai urus setia atau penyelaras (Sekretariat) bagi pelaksanaan Penarafan Tunggal Program TVET di peringkat Nasional. Skop tanggungjawab merangkumi perancangan, pembangunan, pelaksanaan, serta pemantauan aktiviti penilaian dan penarafan terhadap institusi serta program latihan teknikal dan vokasional (TVET) di seluruh negara.
- Aktiviti Berkaitan Lain
- Melaksanakan sebarang aktiviti lain yang berkaitan secara langsung atau tidak langsung dengan pelaksanaan dan penguatkuasaan Akta 652.
UNIT PERHUBUNGAN AWAM (UPA)
Bahagian Inspektorat, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK)
Pengenalan
Unit Perhubungan Awam (UPA) merupakan unit sokongan utama di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) yang berperanan sebagai pusat rujukan, penghubung komunikasi dan barisan hadapan dalam penyampaian maklumat JPK kepada pelanggan. Unit ini menjadi pemudah cara antara pelanggan, pihak awam, industri dan penyedia latihan dengan JPK serta memastikan pengurusan aduan dan pertanyaan dilaksanakan secara profesional, mesra pelanggan dan berintegriti. Di samping itu, unit ini juga bertanggungjawab terhadap pengurusan media sosial dan promosi perkhidmatan JPK secara berkesan dan strategik.
Objektif
Objektif utama Unit Perhubungan Awam (UPA) adalah:
- Memberikan perkhidmatan pelanggan yang responsif, cekap dan berkualiti tinggi;
- Menyampaikan maklumat perkhidmatan JPK kepada pelanggan secara telus dan mudah diakses;
- Mengurus serta menyelaras aduan pelanggan melalui pelbagai saluran secara sistematik dan berfokus penyelesaian;
- Memperkasakan komunikasi strategik JPK melalui media sosial dan promosi digital; dan
- Menyokong agenda penjenamaan dan keterlihatan JPK di peringkat nasional dan antarabangsa.
Skop Perkhidmatan
Skop perkhidmatan Unit Perhubungan Awam (UPA) meliputi perkara berikut:
- Pengendalian Kaunter Khidmat Pelanggan
- Mengurus operasi kaunter utama JPK termasuk pendaftaran, pertanyaan, semakan status permohonan, pemberian maklumat berkaitan sistem dan perkhidmatan seperti SPKM, Pentauliahan, Pensijilan, PPT, MySpike dan lain-lain.
- Pengurusan Aduan dan Pertanyaan Awam
- Mengendalikan pertanyaan awam secara fizikal, panggilan telefon, whatsapp, e-mel dan borang maklum balas pelanggan; dan
- Menyediakan jawapan awal dan menyelaras respons teknikal bersama Bahagian / CIAST / Pejabat JPK Wilayah berkaitan bagi memastikan setiap pertanyaan awam diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.
- Pengurusan Aduan Awam Melalui Sistem SiSPAA & BPA JPK
- Bertindak sebagai pentadbir utama bagi aduan yang diterima melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) dan Biro Pengaduan Awam (BPA) JPK; dan
- Menjalankan proses semakan, penyaluran aduan kepada bahagian berkaitan, pemantauan tindakan serta penyediaan laporan berkala kepada pengurusan.
- Pemantauan Media Sosial & Portal Digital Rasmi JPK
- Memantau dan memberi maklum balas terhadap pertanyaan atau isu yang dibangkitkan di platform media sosial rasmi JPK seperti Facebook, TikTok, YouTube dan lain-lain;
- Memantau dan memberi maklum balas terhadap pertanyaan atau isu yang dibangkitkan di platform portal digital rasmi JPK seperti Laman Sesawang JPK, Laman MySpike JPK, E-Mel JPK dan lain-lain;
- Menyediakan jawapan rasmi serta berinteraksi secara profesional dengan pengguna media sosial; dan
- Menyimpan rekod interaksi untuk tujuan penilaian dan pelaporan komunikasi digital.
- Semakan Isi Kandungan Promosi, Hebahan dan Komunikasi JPK
- Menyemak isi kandungan promosi, hebahan dan komunikasi JPK yang disediakan oleh Bahagian / CIAST / Pejabat JPK Wilayah berkaitan program serta perkhidmatan JPK melalui platform digital dan fizikal;
- Menyemak isi kandungan seperti banner, bunting, reka bentuk, infografik, video pendek, siaran langsung, kapsyen dan artikel berkaitan TVET, JPK dan SPKM; dan
- Menyokong aktiviti promosi, hebahan dan komunikasi sempena sambutan, karnival atau pelancaran oleh JPK dan KESUMA.
- Tugasan Pegawai Perhubungan Awam (PRO) Jabatan
- Mengurus kenyataan media rasmi jabatan, hubungan media, permohonan liputan dan respons kepada isu-isu semasa yang melibatkan JPK;
- Menyelaras bahan penerbitan rasmi JPK seperti buletin, brosur, buku laporan tahunan, bahan pameran dan montaj;
- Bertindak sebagai urus setia komunikasi semasa program rasmi JPK bersama industri, agensi dan kementerian; dan
- Mengurus dan menyantuni perihal Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran.
- Pemantauan Kajian Kepuasan Pelanggan & Penambahbaikan
- Melaksanakan soal selidik kajian kepuasan pelanggan secara berkala dan analisis hasil dapatan; dan
- Mengemukakan cadangan penambahbaikan perkhidmatan kepada Pengurusan Tertinggi JPK berdasarkan statistik dan maklum balas pelanggan.
Melalui perkhidmatan yang inklusif dan pelaksanaan komunikasi strategik yang terancang, Unit Perhubungan Awam (UPA) berperanan bukan sahaja sebagai penghubung antara JPK dan pelanggan, malah sebagai penggerak utama dalam memperkukuh kepercayaan awam terhadap JPK sebagai peneraju pembangunan kemahiran negara.
PANDUAN SERTA RUJUKAN YANG BERKUATKUASA
- Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Akta 652) dan Peraturan peraturan berkaitan yang berkuatkuasa semasa;
- Panduan Pembangunan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan;
- Panduan Pentauliahan Pusat Bertauliah yang berkuatkuasa;
- Arahan Perbendaharaan, Pekeliling Perbendaharaan dan Surat Pekeliling Perbendaharaan yang berkaitan; dan
- Perintah Am Kerajaan – Bab Yang Berkaitan, Pekeliling, Surat Pekeliling Perkhidmatan;
- MS ISO 9001:2015;
- Peraturan-Peraturan Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (P.U(A) 395/1993);
- Surat pekeliling Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran Bil. 1/2015; dan
- Garis Panduan Pengiklanan Pusat Bertauliah di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (AKTA 652).