Soalan Lazim PPT - Permohonan

PERMOHONAN PENGIKTIRAFAN PENCAPAIAN TERDAHULU (PPT)

 1.   Siapakah yang boleh memohon SKM melalui kaedah PPT ?

Individu yang mempunyai kemahiran dan kekompetenan yang diperolehi melalui pengalaman kerja dan memenuhi syarat seperti mana yang digariskan di dalam Panduan Pelaksanaan Persijilan Kemahiran Malaysia melalui kaedah PPT.

 2.   Bagaimanakah cara untuk memohon SKM melalui kaedah PPT ?

Permohonan SKM melalui kaedah PPT boleh dibuat secara dalam talian sepenuhnya melalui laman web https://www.myspike.my/ .

 3.   Bagaimanakah cara untuk akses sistem permohonan SKM melalui kaedah PPT ?

Pemohon perlu mendaftar sebagai pengguna di laman web https://www.myspike.my/ dan membuat permohonan di dalam sistem tersebut..

 4.   Apakah persediaan yang perlu saya lakukan sebelum memohon SKM melalui PPT?

Anda perlu:
i. Mengenalpasti bidang dan tahap bagi program yang hendak dipohon dengan merujuk kepada daftar NOSS yang terkini;
ii. Melaksanakan penilaian kendiri berdasarkan bidang dan tahap seperti yang dipohon secara dalam talian di laman web https://www.myspike.my/ ; dan
iii. Mendapatkan maklumat mengenai panduan permohonan PPT.
Anda boleh melayari laman web JPK www.dsd.gov.my bagi mendapatkan maklumat perkara (i) dan (iii).

 5.   Mengapakah saya perlu melaksanakan penilaian kendiri?

Penilaian kendiri perlu dilaksanakan oleh setiap calon yang memohon Persijilan Kemahiran Malaysia melalui kaedah PPT bagi menentukan sama ada pengalaman dan kemahiran yang dimiliki telah memenuhi keperluan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) atau NOSS dan bagi mengetahui status kelayakan program yang ingin dipohon.

 6.   Bagaimanakah saya boleh mengenalpasti program yang bersesuaian untuk memohon PPT?

Program yang bersesuaian boleh dikenalpasti melalui sistem MySPIKE di menu Platform Pekerja. Langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh pengguna adalah:
i. Semak program di dalam Daftar NOSS;
ii. Dapatkan kod NOSS yang bersesuaian;
iii. Semak Job Description (JD) di dalam setiap CU merujuk kepada NOSS yang dipilih; dan
iv. Laksanakan penilaian kendiri bagi program yang dipilih

 7.   Adakah penilaian kendiri mesti dilaksanakan oleh setiap pemohon yang hendak memohon SKM melalui kaedah PPT? Bagaimanakah saya boleh melaksanakan Penilaian Kendiri tersebut.

YA. Penilaian Kendiri mesti dilaksanakan bagi setiap pemohon dan ia boleh dilaksanakan di dalam sistem MySPIKE dengan merujuk dan memuat turun panduan calon: MANUAL PENGGUNA MODUL PENGIKTIRAFAN PENCAPAIAN TERDAHULU (PPT) di dalam sistem tersebut.

 8.   Sekiranya saya tersilap memilih kod NOSS semasa melaksanakan Penilaian Kendiri, apakah yang perlu saya lakukan?

Pemohon perlu memilih semula kod NOSS yang lain untuk melaksanakan penilaian kendiri bagi program yang hendak dipohon dan abaikan penilaian kendiri yang telah dibuat bagi kod NOSS sebelum ini.

 9.   Bolehkah saya memohon SKM melalui kaedah PPT dengan hanya memilih satu Competency Unit (CU) sahaja secara penilaian portfolio atau penilaian amali? Berapakah bayaran permohonan yang dikenakan?

BOLEH. Bayaran yang dikenakan adalah RM 300 /permohonan.

 10.   Apakah jenis penilaian yang dilaksanakan bagi mendapatkan SKM melalui kaedah PPT?

Dua (2) jenis penilaian yang digunakan bagi mendapatkan SKM melalui kaedah PPT iaitu:
i. Penilaian Portfolio; atau
ii. Penilaian Amali.

 11.   Dimanakah penilaian amali PPT boleh dilaksanakan?

Penilaian amali PPT boleh dilaksanakan di dua (2) tempat yang diluluskan oleh JPK iaitu:
i. PB-PPT; atau
ii. Pusat Penilaian Amali (PPA-PPT).

 12.   Berapakah bayaran yang dikenakan bagi permohonan SKM melalui kaedah PPT?

Bayaran permohonan bagi penilaian portfolio atau penilaian amali adalah seperti berikut:
i. RM300 /tahap /calon bagi permohonan mengikut tahap;
ii. RM300 /permohonan /calon bagi permohonan Single Tier;
iii. RM300 /permohonan /calon bagi permohonan modular (CU); dan
iv. RM300 /NCS /calon bagi permohonan NCS

 13.   Sekiranya saya ingin melaksanakan PPT secara penilaian amali, adakah bayaran lain yang dikenakan selain daripada bayaran permohonan?

Selain daripada bayaran permohonan RM300 yang ditetapkan oleh JPK, PB-PPT atau PPA-PPT berhak mengenakan bayaran lain kerana melibatkan kos bahan guna habis, utiliti dan lain-lain yang berkaitan. Jumlah bayaran yang dikenakan bergantung kepada bidang yang dipohon dan ditentukan oleh PB-PPT dan PPA tersebut.

 14.   Sekiranya saya telah membuat bayaran untuk permohonan PPT, adakah saya dibenarkan untuk menukar kod NOSS yang lain?

Pertukaran kod NOSS TIDAK DIBENARKAN sekiranya bayaran permohonan PPT telah disahkan. Bagi permohonan yang telah didaftarkan bayaran tidak akan dikembalikan.

15.   Sekiranya saya telah membuat bayaran permohonan PPT, bolehkah saya membatalkan permohonan tersebut?

YA, permohonan tersebut boleh dibatalkan tetapi bayaran permohonan PPT tidak akan dikembalikan.

16.   Sekiranya saya telah membuat bayaran permohonan PPT, bolehkah saya menggantikan permohonan tersebut dengan calon yang lain?

Permohonan gantian calon TIDAK DIBENARKAN.

17.   Bagaimanakah cara untuk saya menyemak status permohonan PPT saya yang telah dipohon?

Status permohonan PPT boleh disemak melalui sistem MySPIKE dengan merujuk kepada id permohonan bagi program yang dipohon.

18.   Berapa lamakah tempoh semakan bagi permohonan PPT saya?

Keputusan semakan permohonan boleh diperolehi dalam tempoh 14 hari waktu bekerja. Semakan status permohonan boleh dibuat dari semasa ke semasa melalui sistem MySPIKE.

19.   Permohonan PPT saya tidak disokong kerana tidak memenuhi syarat permohonan PPT. Apakah tindakan yang perlu saya lakukan sekiranya saya masih berminat untuk mendapatkan SKM melalui kaedah PPT ini?

Pemohon boleh mengemukakan permohonan baharu setelah semua syarat permohonan dipenuhi dengan merujuk kepada panduan pelaksanaan PPT yang sedang berkuatkuasa.

20.   Bagaimanakah cara untuk membuat bayaran bagi permohonan PPT?

Bayaran permohonan PPT hanya boleh dibuat secara online di laman web https://www.myspike.my/ dan boleh merujuk Manual Pengguna di laman web tersebut. Bagi pemohon yang berdaftar melalui agensi penaja bayaran akan dikemukakan oleh agensi berkenaan.

21.   Setelah bayaran permohonan PPT saya disahkan, berapa lamakah saya akan menerima pemakluman penugasan PP-PPT?

Calon akan menerima pemakluman penugasan PP-PPT selewat-lewatnya dalam tempoh 14 hari waktu bekerja. Walaubagaimanapun kemungkinan penugasan dibuat melebihi tempoh 14 hari waktu bekerja sekiranya bilangan PP-PPT bagi program yang dipohon adalah terhad.

22.   Apakah syarat-syarat permohonan SKM /DKM/DLKM melalui kaedah PPT?

i. Memenuhi had umur mengikut kelayakan berikut:

Had umur  Kelayakan permohonan 
 ≥ 17 tahun            Permohonan Modular dan SKM Tahap 1,2 dan 3
 ≥ 21 tahun  Permohonan SKM Tahap 4 (DKM)
 ≥ 23 tahun  Permohonan SKM Tahap 5 (DLKM)

ii. Memenuhi pra-syarat seperti yang digariskan di dalam Standard sekiranya berkaitan;
iii. Memiliki SKM pada tahap yang lebih rendah bagi permohonan SKM yang lebih tinggi dalam kumpulan program yang sama;
iv. Mempunyai pengalaman kerja dalam bidang berkaitan pada tahap yang dipohon sama ada di dalam atau di luar negara merujuk kepada Panduan Pelaksanaan PPT yang sedang berkuatkuasa; dan
v. Tidak dibenarkan memohon program yang sama sekiranya telah memiliki SKM/DKM/DLKM bagi program tersebut.

23.   Apakah syarat yang ditetapkan kepada agensi/syarikat yang ingin memohon sebagai Pusat Penilaian Amali (PPA) dan bagaimana permohonan tersebut dibuat?

Untuk memohon sebagai PPA, agensi/syarikat hendaklah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan seperti berikut:
i. Berdaftar dengan SSM (bagi agensi swasta);
ii. Menyediakan kelengkapan /peralatan yang mencukupi;
iii. Menyediakan bahan yang mencukupi; dan
iv. Mempunyai ruang yang bersesuaian dengan kapasiti bilangan calon bagi setiap sesi penilaian
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di laman web https://www.myspike.my/ dengan merujuk manual pengguna di laman web berkenaan.

24.   Berapa lamakah tempoh yang diambil bagi meluluskan sesuatu permohonan Pusat Penilaian Amali (PPA-PPT)?

Kelulusan bagi permohonan PPA-PPT mengambil masa selama 14 hari waktu bekerja. Semakan kelulusan boleh dibuat dalam tempoh tersebut.

25.   Apakah peranan dan tanggungjawab Pusat Penilaian Amali (PPA-PPT)?

Secara umumnya pemohon hendaklah memenuhi perkara-perkara berikut:

a. Syarat permohonan sebagai PPA-PPT hendaklah terdiri daripada salah satu (1) kategori berikut:
     i.   Syarikat / Organisasi yang menjalankan operasi di dalam bidang berkaitan;
     ii.  Persatuan/ Pertubuhan yang berdaftar; atau
     iii. Penyedia Latihan yang menjalankan latihan di dalam bidang berkaitan

b. Melantik penyelaras yang merupakan kakitangan berjawatan tetap di syarikat/ Organisasi atau Penyedia Latihan dan ahli Persatuan/ Pertubuhan berkenaan serta mempunyai pengetahuan dalam pelaksanaan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia melalui kaedah PPT.

Prosedur permohonan sebagai PPA-PPT boleh dibuat secara dalam talian di dalam sistem MySPIKE dan hendaklah memuatnaik dokumen berikut:
    i. Dokumen perakuan pendaftaran berserta profil syarikat/ organisasi;
    ii. Sijil pendaftaran berserta profil Persatuan/ Pertubuhan; dan
    iii. Salinan Sijil Kursus Induksi PP-PPT bagi yang dilantik sebagai penyelaras PPT.

26.   Apakah yang dinilai dalam penilaian amali?

Semasa penilaian amali, komponen yang dinilai adalah seperti berikut:
i. penilaian prestasi; dan
ii. penilaian pengetahuan (sesi soaljawab).

27.   Apakah yang dimaksudkan dengan Pengiktirafan Khas melalui kaedah PPT.

Pengiktirafan Khas melalui kaedah PPT adalah satu kaedah bagi memberi pengiktirafan kepada individu yang telah memberi sumbangan secara langsung dalam Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) seperti individu yang terlibat dalam pembangunan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) atau NOSS dan Pertandingan Kemahiran anjuran JPK atau KSM.

28.   Siapakah yang layak memohon Pengiktirafan Khas melalui PPT?

Permohonan Pengiktirafan Khas adalah terbuka kepada individu yang memberi sumbangan kepakaran dalam pembangunan latihan kemahiran mengikut kategori yang ditetapkan iaitu:
i. Panel Pembangun National Occupational Skills Standard (NOSS) /National Competency Standard (NCS)
ii. Pakar Negara, Jurulatih, Hakim dan Pemenang Pingat yang terlibat dalam Pertandingan Kemahiran yang melibatkan pihak JPK iaitu World Skills Competition (WSC), Asean Skills Competition (ASC), World Skills Asean (WSA), Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB), Pertandingan Kemahiran Malaysia (PKM), Pertandingan World Skills Malaysia Pengajar (WSMP) dan Pertandingan MySkills)

29.   Bagaimanakah hendak memohon Pengiktirafan Khas melalui PPT?

Pemohon boleh mengemukakan permohonan menggunakan Borang Permohonan Sijil Kemahiran Malaysia Melalui Pengiktirafan Khas, JPK/PPT/1008(P9) yang lengkap diisi beserta bayaran RM300 / permohonan dalam bentuk bank draft atas nama Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran kepada JPK.
Borang permohonan boleh dimuat turun di pautan PPT - Pengiktirafan Khas (dsd.gov.my) .

We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…